Pemandangan Fort Margherita masa sidak gik molah DUN baru |
Menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, cicit Rajah Putih itu, Jason Brooke telah menyatakan persetujuannya untuk memberi atau meminjamkan semua dokumen serta barangan peribadi keluarga Brooke yang dimilikinya bagi tujuan tersebut.
“Kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang memiliki barangan serta dokumen sejarah berkaitan keluarga Brooke meminjam atau memberikan kepada kita untuk dipamerkan di galeri ini nanti, jika mereka sanggup untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej i-System Kuching dan Hotel Hilton Kuching untuk menawarkan Diploma Program Pengurusan Hotel di kolej berkenaan di sini, semalam.
Abang Johari yang juga Menteri Perumahan memberitahu, pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama dengan pihak British Museum dan The National Archives di United Kingdom (UK) untuk mengumpul khasnya dokumen bersejarah pada era pemerintahan Brooke.
“Dokumen atau fakta sejarah era Brooke banyak disimpan di British Museum dan arkib British (The National Archives di UK) dan salah satu daripadanya ialah fakta mengenai perbicaraan Rosli Dhoby.
“Bagi tujuan itu, kita akan menghantar pensyarah dari UNIMAS untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak di British Museum dan The National Archives di UK untuk mendapatkan dokumen yang asal atau sekurang-kurangnya salinan yang sudah disahkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai Galeri Brooke, Abang Johari berkata ia adalah Kubu Margherita yang terletak di Tebingan Kuching dan ketika ini kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan.
Menurutnya, kerja-kerja pengubahsuaian hanya melibatkan bahagian dalam bangunan itu dan dijangka siap pada hujung tahun ini.
“Memandangkan Kubu Margherita itu bangunan warisan sejarah maka tidak banyak pengubahsuaian dilakukan hanya melibatkan bahagian dalam, struktur asal bangunan itu harus dikekalkan.
“Bagi galeri, susun atur dalamannya mesti menarik dan pada masa sama, mempunyai ciri-ciri yang boleh menyimpan serta memelihara dokumen-dokumen serta barangan bersejarah di situ dengan selamat. Kos pengubahsuaian belum dapat dipastikan lagi, mungkin melibatkan beberapa juta ringgit,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, kementeriannya kita sedang mempertimbangkan untuk membangunkan tapak Alfred Russel Wallace yang terletak berdekatan dengan Batu Buaya di Santubong dekat sini sebagai salah satu produk pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, tapak itu sangat penting dari segi warisan sejarah kerana ia merupakan tapak bermulanya teori revolusi manusia yang dibangunkan oleh Wallace dan Charles Darwin.
Sumber : Utusan Borneo